Makanan Halal Prasyarat Doa Makbul
Makanan yang tidak baik akan menghasilkan jiwa yang tidak baik, manakala makanan yang baik akan menghasilkan keturunan yang baik, generasi yang tidak keras kepala, mudah menerima pembelajaran, cerdik akal dan bersifat mulia.
Perkataan 'HALAL' membawa maksud yang luas mengenai cara hidup orang Islam yang menitikberatkan aspek halalan thoyyibah iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan yang sihat serta 'halalan'. Dari sudut pandangan Islam, makanan yang baik lagi halal mampu membentuk ketrampilan peribadi seseorang yang akhirnya akan menyumbang kepada pembentukan ummah.
Thoyyibah merangkumi dua perkara iaitu soal fizikal dan kerohanian. Ia mestilah selari dengan syariat (tidak bercanggah) dan disertai dengan keikhlasan kepada Allah S.W.T. Dalam kehidupan kita seharian seharusnya perbuatan yang dilakukan tidak bercanggah dengan kehendak Allah dan mestilah ikhlas kepadaNya.
Soal makanan dan ibadat tidak boleh dipisahkan kerana makan itu juga satu ibadat. Walaupun makanan itu baik dan tidak beracun, unsur halal perlu dititikberatkan supaya kita dapat menjaga hati daripada dicemari makanan haram yang akan memberi kesan kepada keperibadian kita secara keseluruhannya.
Kepentingan memakan makanan yang halal dalam melahirkan keturunan yang baik.
Pada asasnya, pemakanan sihat dan seimbang dari segi kualiti dan kuantitinya mampu melahirkan masyarakat yang cemerlang kesihatan, akhlak, sahsiah dan bersikap mulia. Selain itu, ia juga merangkumi aspek keimanan, tidak degil, mendengar nasihat serta memelihara jiwa dari kekotoran. Dalam konteks keturunan, pemakanan halal akan memberikan kesan kepada fizikal kerana seseorang manusia terdiri daripada jasad dan roh. Makanan yang tidak baik akan menghasilkan jiwa yang tidak baik, manakala makanan yang baik akan menghasilkan keturunan yang baik, generasi yang tidak keras kepala, mudah menerima pembelajaran, cerdik akal dan bersifat mulia.
Orang Islam tidak dibenarkan makan benda yang haram dan benda yang 'syubhah' (tidak jelas halal haramnya) termasuklah ibu yang sedang mengandung kerana segala yang dimakannya akan menjadi sumber fizikal anak dalam kandungan.
Islam juga menggariskan adab makan yang sedikit sebanyak mempengaruhi amalan seharian. Adab sebelum dan selepas makan, adab ketika makan dan adab makan bersama tetamu, semuanya digariskan dalam Islam yang melambangkan kesyumulan dalam melahirkan generasi berkeperibadian mulia dan beradab.
Memakan makanan tidak halal atau 'syubhah' itu boleh menyebabkan doa seseorang itu tidak diterima Allah.
Halal adalah prasyarat kepada penerimaan doa. Maknanya Allah tidak akan terima doa orang yang mengandungi bahan haram dalam tubuhnya termasuklah pakaian yang dipakai dan harta yang dimilikinya.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan Abu Muslim dari Abu Hurairah: "Di antara nilai hukum yang diisyaratkan ialah peri mustahaknya makanan yang halal bagi orang yang beriman dalam hubungannya dengan ibadat dan doanya kerana untuk penyempurnaannya tidak sahaja dikehendaki kepada kebaikan apa yang dikerjakannya tetapi memerlukan pula kepada halal makanan dan pakaian yang digunakan setiap hari."
Pada zaman Nabi Musa AS ada dikisahkan seorang yang berdoa bersungguh-sungguh dengan tangannya diangkatkan ke langit tetapi doanya tidak diterima Allah. Nabi Musa berasa hairan kerana doa lelaki tersebut tidak diterima Allah. Lalu Nabi Musa bertanya kepada Allah mengapakah doa lelaki itu tidak diterima. Allah menjawab, doanya tidak diterima kerana di dalam perutnya ada benda yang haram dan di belakangnya ada juga benda yang haram (pakaiannya). Malah di rumahnya turut dipenuhi dengan benda yang haram dan disebabkan itulah doanya tidak diterima.
Bagi diri setiap orang Islam, penerimaan doa oleh Allah S.W.T itu sangat penting kerana doa adalah otak kepada segala ibadat. Ia juga bermaksud sekiranya 'otak' itu cacat, maka ibadat lain turut cacat sama. Bagi orang beriman, doa adalah satu kekuatan yang Allah kurniakan kepada manusia khususnya bagi orang teraniaya yang mana doanya amat makbul dan diterima Allah.
Hukum apabila makanan halal dicemari dengan makanan yang tidak halal.
Menurut Imam Syafie, sekiranya berlaku percampuran yakni makanan halal dan tidak halal yang tidak boleh dipisahkan, maka akan dimenangkan yang haram yakni makanan itu haram dimakan.
Rasulullah SAW bersabda kepada Saad bin Abi Waqas yang meminta Baginda bermohon kepada Allah supaya doanya diterima: "Hai Saad, baguskanlah makanan engkau. Nescaya engkau adalah orang yang diperkenankan permintaannya dan demi diri Muhammad di tangannya sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan (menyuapkan) makanan ke perutnya tiada diterima Allah daripada amalnya 40 hari dan mana-mana hamba yang tumbuh dagingnya dari benda yang haram maka api neraka lebih layak dengannya."
Hadis ini sudah cukup menjadi iktibar kepada kita supaya menjauhi makanan yang haram. Seharusnya kita memperhalusi jika selama ini doa kita tidak dimakbulkan oleh Allah. Perincikanlah di mana salah kita, pekerjaan, makanan dan adakah kita berusaha dalam hidup ini hanya sekadar untuk memenuhi perut kita? Bagaimana mungkin hati yang kotor akan dikabulkan doanya? Bagaimana mungkin perut yang terisi daripada makanan yang haram itu dapat menjelmakan keperibadian yang soleh?
Pengamalan memakan makanan yang datang dari sumber halal mempunyai keberkatan. Misalnya rasa bahagia, jiwa rasa tenteram, mempunyai anak-anak yang baik dan bertanggungjawab, rasa sentiasa cukup dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT dan sebagainya